Tuesday, June 10, 2008

Pengundi Melayu Tanggung Padah

Utusan Melayu
KUALA LUMPUR 9 Jun - Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi percaya orang Melayu di Selangor kini mula sedar bahawa mereka terpaksa menanggung padah kerana salah memilih kerajaan.
Menurut beliau, ini berikutan keputusan kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas negeri Selangor menghapuskan peraturan mengehadkan rumah ibadat bukan Islam di negeri itu.
Beliau berkata, walaupun Menteri Besar Selangor beragama Islam tetapi tidak mempunyai kuasa sebaliknya keputusan yang diambil ditentukan oleh barisan Exco negeri itu.
''Apabila kerajaan campuran PKR, DAP dan Pas memerintah Selangor, bidang kuasa adalah di tangan Exco kerana kekuasaan dan keputusan ditentukan oleh mereka,'' katanya.
Ahmad Zahid mengulas keputusan kerajaan negeri Selangor untuk menghapuskan peraturan mengehadkan rumah ibadat bukan Islam yang tidak boleh dibina dengan keluasan melebihi 10,000 kaki persegi.
Ia diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri, Dr. Xavier Jayakumar bersama Pengerusi Tetap Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Negeri, Ronnie Liu.
Menurut beliau, sebelum ini kerajaan negeri Selangor telah memberikan jaminan untuk melaksanakan sistem akidah Islamiah.
''Tetapi apa yang boleh dilakukan melainkan terpaksa bersetuju kerana suara mereka hanyalah suara minoriti.
''Cuma saya ingin beritahu orang Islam di Selangor, itulah harga mahal yang terpaksa mereka bayar kerana salah memilih kerajaan,'' katanya.
Beliau yang juga adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Kerajaan Pusat tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dengan keputusan kerajaan campuran negeri Selangor itu.
Menurutnya, keluasan sesuatu rumah ibadat bukan Islam hanya ditentukan oleh kerajaan negeri dengan melalui pihak berkuasa tempatan.
Kata beliau, wujud satu garis panduan khas kerana Islam adalah agama rasmi negara dan mempunyai garis panduan tertentu tanpa mengetepikan agama lain.
mySacRedHeaRt wrote : Rakyat Negeri Selangor khususnya orang Islam tidak dapat berbuat
apa-apa apabila peraturan ini telah dihapuskan. Tidak mustahil satu
lagi 'Sleeping Buddha' wujud, bukan di Kelantan tapi di Selangor.
Agak-agaknya kat mana dorang nak letak ek??

Elaun Keraian Menteri , Timbalan Dikurangkan 10%


PUTRAJAYA 9 Jun – Elaun keraian Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri dikurangkan sebanyak 10 peratus bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan ekoran kenaikan harga petrol dan diesel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pengurangan elaun itu akan bermula 1 Julai ini.
“Kerajaan turut merasai keperitan rakyat dan merasakan pucuk pimpinan hendaklah menunjukkan teladan yang baik dalam menghadapi cabaran ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Membanteras Inflasi di pejabatnya di sini hari ini.
Ketika ini, elaun keraian bulanan bagi Perdana Menteri ialah RM18,865, Timbalan Perdana Menteri (RM15,015), menteri (RM12,320) dan timbalan menteri (RM6,000).
Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, tugas rasmi menteri-menteri ke luar negara juga akan dihadkan kepada persidangan dan mesyuarat antarabangsa.
Katanya, untuk tugasan itu, menteri hanya layak diiringi tiga orang pegawai kementerian, manakala timbalan menteri hanya dibenarkan membawa tiga orang pegawai.
“Pegawai yang hadir hendaklah terlibat secara langsung dengan tugas yang dipertanggungjawabkan.
“Ketua Setiausaha Kementerian tidak dibenarkan menyertai bersama dalam rombongan menteri untuk tugas rasmi di luar negara kecuali bagi mesyuarat berjadual tertentu,” katanya.