Thursday, July 10, 2008

Pas mahu selesai cara bermoral

Sinar Harian
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub menegaskan apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim diharapkan dapat diselesaikan secara bermoral dan tidak mencetuskan keluh-kesah di kalangan rakyat dengan terlalu banyak surat-surat akuan bersumpah yang boleh disalahgunakan oleh mana-mana pihak. Beliau juga berharap agar Seri Paduka Baginda, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin dapat menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja secepat yang mungkin untuk memulihkan keadaan seperti sedia kala. Menjawab pertanyaan wartawan sama ada Pas masih lagi bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau menjelaskan mereka masih memupuk kerjasama dan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim. “Kalau kita percaya pada sistem perundangan hari ini, biarlah sistem yang ada ini dipertegaskan dan saya mengulangi sekali lagi bahawa saya tidak mengizinkan mana-mana kuasa asing untuk masuk campur dalam hal ini,” jelasnya pada media di Lobi Parlimen, semalam. Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sekiranya sistem perundangan Malaysia lemah dan tidak berupaya, biarlah rakyat sendiri yang membuat penentuan dan penyelesaian bukannya kuasa asing. “Jadi, saya harapkan dengan adanya Suruhanjaya Siasatan DiRaja ini, kes ini dapat diselesaikan dengan segera. “Sebab saya mengesyorkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menangani kes ini adalah kerana sejarah penubuhan siasatan ini telah menyelesaikan banyak perkara,” jelasnya. Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas lanjut perihal cadangan agar Anwar bermubahalah atau bersumpah, Salahuddin menjelaskan bahawa beban di sebalik bermubahalah itu kepada pihak yang menuduh dan bukannya yang dituduh. Terdahulu, Mufti Perlis, Dr Mohd. Asri Zainul Abidin mencadangkan agar Anwar dan pembantunya yang membuat laporan polis mendakwa dia diliwat oleh Anwar bermubahalah sebagai mencari penyelesaian kepada isu liwat itu yang kini semakin meruncing dan dibicarakan orang ramai. Salahuddin turut meminta agar perkara ini disiasat dan diselesaikan setelus-telusnya. “Sekiranya pihak polis tidak dapat menyelesaikan siasatan itu kerana berkemungkinan melibatkan karenah birokrasi atau hal-hal tertentu, maka sekali lagi, saya rasa perkara yang relevan ialah dengan Penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyelesaikan masalah ini,” jelasnya lagi. Ketika diminta mengulas lanjut mengenai insiden kurang bermoral yang mencemarkan imej PR pada persembahan sempena perhimpunan Protes Sejuta Rakyat di Stadium Kelana Jaya kelmarin, beliau menjelaskan bahawa adegan tercemar itu telah dibantah sekeras-kerasnya. “Bukan Pemuda Pas sahaja yang membantah, sebaliknya semua orang pun merasa terkilan dengan kumpulan Carburator Dung, hanya itu sahaja insiden yang mencemarkan hari tersebut. “Jadi saya rasa untuk meletakkan kesilapan sepenuhnya kepada pihak penganjur adalah tidak adil,” jelas Salahuddin. Beliau menambah akan membuat perbincangan dan bersedia untuk melihat dan mencari muhasabah yang diperlukan agar lebih berhati-hati dengan agenda dan aktiviti yang akan dianjurkan pada masa akan datang.

No comments: