Wednesday, March 4, 2009

Sidang terbuka di luar Dewan jatuhkan maruah institusi

Sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang diadakan di bawah pokok hari ini telah menjatuhkan maruah institusi negara dan negeri yang rakyat warisi selama ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pakatan pembangkang akan bertindak dalam apa cara sekalipun, asalkan dapat berkuasa untuk memerintah negeri Perak.
"Tetapi saya percaya rakyat sudah muak dengan politik yang tidak habis-habis ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib pula menyifatkan tindakan pakatan pembangkang itu sebagai kerja gila.
"Perbuatan itu umpama orang pada zaman jahiliah yang bertindak seperti orang yang tidak siuman dan tidak boleh berfikir panjang.
"Tindakan mereka itu sebenarnya tidak berpandukan kepada Perlembagaan dan peraturan yang telah ditetapkan," katanya.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan kumpulan ADUN itu memperlihatkan pakatan pembangkang cuba melaksanakan undang-undang rimba.
Katanya, pembangkang kini sudah mula menunjukkan siapa diri mereka sebenar kepada rakyat dengan menghalalkan apa sahaja asalkan dapat memerintah.
"Tidak pernah dalam sejarah DUN bersidang di bawah pokok dan ia seperti sebuah negara yang tidak bertamadun," katanya.
Sementara Majlis Peguam menyifatkan persidangan yang diadakan di bawah pokok tidak pernah berlaku dan tidak terdapat dalam Peraturan Mesyuarat.
Presidennya, Datuk S. Ambiga berkata, timbul persoalan sama ada sidang tergempar itu boleh dijalankan di luar bangunan kerajaan negeri atau tidak.
Jelasnya, ini kerana krisis politik di Perak itu tidak pernah berlaku dan melibatkan isu undang-undang yang kompleks.
"Amat sukar untuk membuat kesimpulan atau memberi pandangan muktamad mengenainya namun beberapa perkara boleh diperjelaskan secara prinsipnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

No comments: