Thursday, January 8, 2009

Israel Patut Dikenakan Sekatan, Kata Abdullah

Bernama
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Israel dikenakan sekatan antarabangsa kerana perbuatan tidak bermoralnya menyerang dengan kejam penduduk Gaza yang menyebabkan ramai yang terbunuh."Masyarakat antarabangsa perlu memasukkan pencabulan moral yang asas dalam senarai membolehkan sekatan antarabangsa dikenakan.
Apa yang dimaksudkan ialah kita harus memindahkan apa yang dianggap moral itu daripada berada di pinggir amalan antarabangsa hingga menjadi tumpuan," kata Perdana Menteri ketika merasmikan kampus baru Institut Diplomasi dan Hubungan antarabangsa (IDFR) di sini, Khamis.Katanya tindakan Israel menggunakan kekuatan tentera yang jauh berlebihan terhadap penduduk Gaza adalah satu perbuatan yang amat tidak bermoral."Saya tahu bahawa pada zaman ini, langkah mengaitkan moral dengan dasar luar agak ketinggalan.
Tetapi saya amat yakin bahawa etika dan sikap rasional mempunyai tempat dalam dasar luar sesebuah negara."Mana-mana negara yang terus memperjuangkan kepentingannya yang sempit tanpa mengambil kira hak negara lain, akhirnya akan rugi, tanpa rakan dan pakatan di saat yang memerlukan," kata Perdana Menteri.Abdullah berkata pendekatan dasar luar Malaysia adalah pragmatik dan berasaskan prinsip moral dan etika.Perdana Menteri juga mencadangkan pembentukan satu forum atau majlis mengenai hubungan luar dan diplomasi yang bebas dan khusus bagi menyediakan sokongan dan bantuan dalam meningkatkan kefahaman negara mengenai dunia.
Abdullah berkata badan itu mampu merangsang pemikiran inovatif mengenai isu dan pendekatan dasar luar bagi menyokong usaha kerajaan mendapatkan keadilan antarabangsa bagi keamanan dan kemakmuran semua negara.Apabila perlu, anggota majlis itu boleh dilantik sebagai wakil khas negara bagi misi tertentu, katanya.

No comments: