Thursday, October 9, 2008

Projek Damansara 21 Boleh Diteruskan

Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR : Pemaju projek Damansara 21 di Bukit Damansara, SDB Damansara Sdn. Bhd. memaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menarik balik arahan berhenti kerja yang dikeluarkan pada April lalu.
Dengan keputusan itu, SDB kini boleh meneruskan kerja-kerja pembangunan yang telah dirancangkan di kawasan itu, yang sebelum ini mendapat bantahan daripada penduduk sekitar berhubung tahap keselamatan cerun di kawasan projek itu.
Pengarah Urusan SDB Damansara, Teh Lip Kim berkata, kelulusan itu membolehkan SDB meneruskan perancangan untuk meningkatkan tahap keselamatan cerun dan menyempurnakan pembangunan projek tersebut.
Menurutnya, kawasan untuk projek Damansara 21 telah diperoleh pada 2005, bersekali dengan Arahan Pembangunan (DO) dan Pelan Bangunan untuk 25 unit banglo dan sebuah rumah kelab.
Katanya lagi, selepas tanah itu dibeli, konsep pembangunan itu telah dirombak dan kepadatannya telah dikurangkan kepada hanya 21 unit.
Sebelum bermulanya projek itu, kata beliau, SDB telah mematuhi kesemua proses ketat untuk memastikan kesemua kelulusan dipenuhi sebelum menjalankan kerja-kerja di tapak.
Beli
"Kami telah membeli tanah itu dengan DO asalnya sekali dan juga telah mematuhi kelulusan yang diberikan oleh kesemua 16 jabatan dan agensi di bawah pemerhatian sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan," tambahnya.
Katanya, antara jabatan yang dimaksudkan ialah Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan, Pusat Penyelidikan Tanah Runtuh Negara dan Jabatan Pengairan dan Saliran.
Menurutnya, kelulusan dan maklum balas daripada kesemua jabatan itu diperoleh dalam tempoh 20 bulan.
Selepas itu, DO yang telah diperbaiki itu diluluskan dan diserahkan kepada DBKL pada Februari 2007, ujarnya.
SDB, katanya, maklum bahawa sebilangan penduduk di kawasan sekitar telah menyuarakan bantahan mereka mengenai projek itu dan syarikatnya telah melayan semua pihak termasuk penduduk dan pihak berkuasa secara terbuka dan telus.
Mengenai penyiasatan Badan Pencegah Rasuah berhubung laporan yang dibuat oleh penduduk Medan Damansara, Lip Kim menegaskan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti yang telah diamalkannya dengan pihak berkuasa tempatan, negeri dan Persekutuan sebelum ini.
"Jemputan terbuka kami kepada penduduk untuk datang dan menyaksikan sendiri dokumen kelulusan dan pelan pembangunan serta menghadiri mesyuarat tapak mingguan kami adalah bukti tentang ketelusan yang kami amalkan.
"Tiada apa-apa yang hendak kami sembunyikan kerana kami yakin proses dan prosedur kami telah mematuhi syarat," tegasnya.
mysacRedHeart wrote : harap lepas nie xder lagi kes2 tanah runtuh kat kawasan nie. Pembangunan itu perlu namun jgn diabaikan keselamatan penduduk dan alam sekitar. Harap Pihak Berkuasa Tempatan tidak mengabaikan kesemua aspek ini sebelum meluluskan sesuatu projek..

No comments: